Thursday, May 16, 2013

Secebis memori

Selamat hari guru - GAMBAR HIASAN

Dulu-dulu, saya bukan pelajar yang rajin membuat homework. Jika cikgu tidak kenakan denda atau bertegas, rasanya saya tidak akan pernah merasa bagaimana nikmatnya patuh pada arahan cikgu.
Namun, segala-galanya berubah secara total semasa berada di Tingkatan enam rendah. Waktu itu, mendiang Cikgu Kang Choo Bee, menggantikan guru BM kami yang cuti bersalin.

Sebelum ini pernah mendengar rintihan daripada kawan-kawan daripada kelas sebelah akan perihal Cikgu Kang yang dikatakan agak 'skema'.
Rasa sangat takut dan berdebar untuk berdepan dengannya.

Ternyata telahan kawan-kawan saya sangat tepat. Dua tiga minit sebelum masa pengajarannya tiba, dia sudah pasti tercegat di koridor kelas menanti gilirannya mengajar. Masuk sahaja di dalam kelas, dia akan memberikan edaran nota yang terdiri daripada kertas A4 yang model lama , warnanya sudah kekuning-kuningan. Tapi, saya agak suka dengan bau kertas lama tersebut. Bau yang klasik.
Mungkin usia kertas tersebut sudah lebih daripada lima atau 10 tahun.

 Sepanjang bergelar pelajar, belum pernah dalam hidup saya, buku nota saya (EXAMINATION PAD) berubah ketebalan daripada setengah sentimeter menjadi 2 inci tebalnya. Begitulah bayangan betapa banyaknya nota yang diberi oleh mendiang cikgu kepada kami.

Pengalaman sesungguhnya sesuatu yang mahal dan sangat bernilai. Pengalaman cikgu yang sudah lama mengajar meneybabkan cikgu boleh tahu siapa yang meniru siapa, senang sahaja menghafal nama dan saya mula mengagumi sikapnya. Dia tidak pernah bangun lewat, malah setiap hari akan bangun seawal jam empat pagi untuk memulakan sebarang aktiviti.

Jelas sekali skema itu sebenarnya komitmen beliau yang sangat berdisiplin dalam menjalankan amanah sebagai seorang pendidik. Paling tidak boleh dilupakan, setiap pagi, cikgu akan menunggu kami di depan pintu pagar sekolah untuk mengutip buku latihan.

Pernah suatu hari, ketika menghantar buku, cikgu menyoal sesuatu.
"Awak nombor tiga kan?"

Saya masih terpinga-pinga. Tiba waktu perhimpunan sekolah, barulah saya tahu, ranking keputusan peperiksaan. Boleh dikatakan setiap pelajar cikgu hafal markahnya.

Setiap orang wajib menghantar buku pada waktu awal pagi dengan tujuan tiada sesiapa yang boleh meniru kerja rumah yang diberikan. TERIMA KASIH CIKGU. Hasilnya setiap tugasan yang diberikan saya siapkan, dan saya sudah makin rajin walaupun malas itu agak sebati.

Daripada takut, saya dan kawan-kawan boleh jadi rapat dengan cikgu. Saya masih ingat cikgu menghantar saya dan kawan untuk ke perhentian bas kerana hari hujan. Saya masih ingat nasihat cikgu semasa menghantar saya dan kawan-kawan ke pertandingan Bahas ala Parlimen.

Yang paling membekas, kenangan saya, Irah, Aen dan Pei Lik yang 'memaksa' cikgu untuk memberikan kami kad hari raya. Waktu itu, cikgu berasa malu dan gelagat cikgu waktu itu sangat comel.

Masuk di dalam kelas dan buat-buat tanya soalan. Rakan-rakan yang tidak tahu hujung pangkalnya terpinga-pinga.

Itu adalah kenangan manis kami bersama cikgu. Buku nota yang tebal, menghantar tugasan pada setiap pagi, dan kertas nota kuning yang berbau klasik itu akan saya kenang. Terima kasih cikgu.


p/s : terima kasih buat ma dan abah, cikgu-cikgu, guru-guru agama, dan semua pensyarah yang telah mendidik saya sepanjang kehidupan ini.

No comments: