USIA semakin bertambah, membuatkan Jusuh semakin merindui saat-saat yang semakin jauh dia tinggalkan.
Jusuh kini di ibu kota, meneruskan cita-cita untuk berbakti kepada agama dan negara.
Tangan Jusuh menekan papan kekunci komputer, tidak lagi melaga buah getah. Menara berkembar petronas yang selalu ditatap dalam buku teks, boleh dilihat melalui tingkap rumah.
Jusuh merindui zaman kanak-kanaknya yang banyak mengajar erti kehidupan. Baginya, pengalaman itu adalah guru terbaik selain guru-guru yang mengajar di sekolah.
Zaman kanak-kanak yang pastinya banyak kenangan ‘perit’ yang jadi manis apabila dikenang. Membesar di sebuah kampung di hulu Kelantan menghadiahkan banyak memori indah.
Jalan kampung berwarna merah, tidak bertar, jauh daripada perkhidmatan awam, tiada rangkaian telefon dan rata-rata penduduknya bekerja memerah susu getah, itulah desa Jusuh.
Jusuh merindui bau tanah hutan dan bunyi air yang jatuh menimpa batu, airnya sejuk apabila menyapa tubuh tapi cukup menyegarkan.
Sungainya jernih dan batu-batunya berselerak, tapi cukup untuk mencantikkan sungai itu. Harmoninya suasana kampung.
Zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan perbuatan nakal yang pastinya dihadiahi dengan beberapa cubitan atau pukulan rotan kerana melanggar arahan kedua-dua orang tua.
Jusuh, budak kampung yang hanya tahu mandi sungai, memegang lastik masuk ke belukar mencari buah getah dan laga buah getah bersama beberapa kawan lelaki kerana pada waktu itu, tidak ramai kawan perempuan yang sebaya.
Ketika berumur lima tahun, kepala Jusuh pernah dibotakkan ekoran kudis yang menyebabkan dia mendapat gelaran ‘Jusuh’.
Nama lelaki ditambah pula dengan cara dia memakai kain batik seperti lelaki memakai kain pelikat. Berkepala botak dan mengilas kain batik. Lucu apabila dibayangkan kembali.
Sesungguhnya insan yang bergelar Jusuh ini merindui kenangan untuk berbasikal ke sekolah seawal jam 6.30 pagi.
Kayuhan ke sekolah rendah sejauh lapan kilometer yang dibuat tidak boleh terlalu laju kerana gusar bertembung dengan babi hutan yang melintas jalan.
Ketika itu, sekolah dia masih lagi bangunannya papan, sekarang telah diganti bangunan konkrit.
Kini, Jusuh ini tidak lagi bermain di tepian hutan, apatah lagi untuk memegang lastik. Dia hidup merantau di tempat orang untuk menimba pengalaman.
Kampung juga telah mengalami transisi, landskapnya telah berubah. Rumah batu semakin banyak, penduduknya semakin ramai.
Jusuh semakin matang dalam mengharungi dugaan duniawi kerana pengalamannya bergelar budak kampung banyak mengajarnya erti kehidupan. Dan, Jusuh itu adalah aku.